Ahad, 20 Julai 2014

Tiada Lagi Gema Beduk

Zaman sekarang rasanya tidak ramai yang kenal apa itu beduk. Namanya sahaja mungkin sudah cukup asing bagi anak² zaman ini. Beduk atau juga dikenali sebagai tabuh merupakan sebuah gendang yang digunakan bagi menandakan masuk waktu solat di surau atau masjid pada zaman dahulu.

Pada kebiasaannya bingkai beduk diperbuat daripada kayu batang pokok nangka yang ditebuk. Sebelah bukaannya dipasang belulang daripada kulit lembu sebagai bahan bunyi manakala sebelah lagi dibiarkan terbuka.

Gema beduk pasti membangkitkan nostalgia buat insan seusia ibu. Ibu membesar dengan paluan beduk yang menjadi penggera utama bagi menandakan masuknya waktu sembahyang fardhu. Beduk juga berperanan penting sepanjang bulan Ramadhan bagi menandakan waktu berbuka puasa dan mengejutkan penduduk kampung untuk  bangun suhur. Selain itu, beduk juga dipalu bagi menandakan nampaknya anak bulan Ramadhan dan Syawal. Pukulan beduk ini juga menjadi isyarat kecemasan atau pemberitahuan jika berlaku kematian.


Kredit foto: Google image

Tanpa disedari, amalan memukul beduk meninggalkan kita secara perlahan-lahan. Teknologi dan zaman makin melenyapkan amalan ini. Tempatnya kini diambil alih oleh beraneka irama dari telefon pintar. Hakikatnya, amalan memukul beduk di surau atau masjid telah lenyap. Kalau ada pun mungkin hanya di kampung² kecil dan di kawasan pedalaman.  

 
Kini, semuanya hanya tinggal kenangan. Kenangan yang tak mungkin dapat diulang kembali. Kenangan yang menjadi nostalgia buat generasi yang pernah melalui zaman itu. Sesungguhnya, ibu amat berbangga kerana pernah menjadi sebahagian daripada zaman yang sudah berlalu itu.
 
Ps: Mungkinkah bunyi paluan beduk akan bergema kembali dalam kehidupan masyarakat kita?
 



4 ulasan:

  1. Betul tu. dah jarang orang guna benda ini. Jika tunjukkan generasi anak-anak sekarang. Meraka pun tak tahu kegunaan beduk ni. Kampung saya ada lagi. tapi tak digunakan.

    BalasPadam
  2. semuanya tinggal kenangan..

    BalasPadam
  3. Iya betul! Di Indonesia khususnya di Yogyakarta tempat saya bertempat tinggal juga sudah jarang sekali ada bedug. Misalnya ada hanya di kampung-kampung kecil itu pun sedikit sekali. Budaya memang akan terus mengalami perubahan, asalkan tidak menuju keburukan tidak apalah.

    BalasPadam

Terima kasih atas kunjungan dan komen-komen ikhlas daripada anda. Insya-Allah kunjungan anda akan dibalas.

COPYRIGHT 2011 - 2015 © IBU BERBICARA